Tuesday, December 10, 2013

KAJIAN BAB 3



BAB 3
METODOLOGI KAJIAN

3.1       Pendahuluan
Metodologi penyelidikan merupakan kaedah dan teknik mereka bentuk, mengumpul dan menganalisis data supaya dapat menghasilkan bukti yang boleh menyokong sesuatu rumusan. Metodologi menerangkan cara sesuatu masalah disiasat dan sebab sesuatu kaedah dan teknik tertentu digunakan. Tujuan metodologi ialah untuk membantu memahami dengan lebih luas lagi tentang pengaplikasian kaedah dengan membuat huraian tentang proses kajian. Kajian ini merupakan satu kajian yang berbentuk penilaian bagi melihat keberkesanan amalan sunat di kalangan pelajar sekolah agama khususnya bagi meningkatkan pemahaman dan amalan pelajar. Bab ini juga menerangkan bagaimana cara untuk mendapatkan sesuatu maklumat supaya matlamat dan objektif kajian ini tercapai. Kajian ini juga bertujuan untuk mengenal pasti sama ada pelajar sekolah agama benar-benar menghayati amalan sunat dalam kehidupan seharian mereka ataupun sebaliknya. Berdasarkan tujuan tersebut, bab ini akan membincangkan mengenai metodologi kajian, responden kajian, alat atau instrumen kajian, tatacara pengumpulan data dan tatacara penganalisaan data yang bakal digunakan dalam kajian sebenar.

3.2       Metodologi Kajian
Metodologi  kajian merupakan kaedah atau teknik yang digunakan untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan bagi menyelesaikan masalah. Kajian yang akan dijalankan adalah mengikut kaedah penilaian yang melibatkan 60  orang pelajar. Metodologi kajian ini menjadi pilihan kerana ia boleh dijadikan kayu pengukur keberkesanan pengamalan amalan-amalan sunat di kalangan pelajar. Melalui kaedah ini, sebarang dapatan kajian akan menunjukkan tahap pengamalan sebenar amalan sunat di kalangan pelajar sekolah agama sama ada  memuaskan atau sebaliknya.
3.3       Instrumen Kajian
Secara umumnya instrumen kajian ialah apa-apa alat, atau cara atau apa-apa kaedah untuk memperolehi dan mengumpul data kajian. Instrumen ialah alat untuk mengumpul data yang dikehendaki bagi menjawab soalan penyelidikan yang telah ditetapkan. Maka, instrumentasi ialah proses menyediakan alat mengumpul data. Dalam kajian ini instrumen yang akan digunakan adalah terdiri daripada:


3.3.1    Pemerhatian
Kaedah pemerhatian merupakan satu kaedah penyelidikan yang digunakan untuk mengukur pemboleh ubah penyelidikan. Pemerhatian juga merupakan alternatif yang ada dalam mengumpul maklumat atau pengumpulan data selain soal selidik dan temuduga. Melalui pemerhatian, pengkaji dapat mengamati sesuatu tingkah laku subjek berpandukan pemboleh ubah-pemboleh ubah yang telah dikenal pasti. Peranan pengkaji ialah sebagai pemerhati terhadap perubahan-perubahan tingkah laku, mendengar, serta melihat tingkah laku subjek sama ada dari jauh atau dari dekat. Oleh itu pengkaji melakukan pemerhatian terhadap pengamalan amalan-amalan sunat  beberapa orang responden melalui aktiviti harian. Pengkaji menggunakan kaedah pemerhatian bukan peserta. Pemerhatian jenis ini memerlukan pemerhati memilih tempat yang sesuai untuk membuat pemerhatian. Tempat pemerhatian mestilah memberi peluang semaksimum mungkin kepada pemerhati untuk membuat pemerhatian secara teliti terhadap segala gerak geri ahli kumpulan atau individu yang diperhati.

Kebaikan kaedah ini ialah responden kajian mungkin tidak menyedari akan kehadiran pemerhati dan dengan itu ia akan menunjukkan tingkah laku yang tulen dan tidak berpura-pura. Data-data yang diperoleh lebih tulen dan ini akan menyumbang kepada ketepatan maklumat yang dikumpul. Maklumat yang tepat akan menyumbang pula kepada keputusan yang lebih tepat.



3.3.2    Temu bual
Patton (1980) menyatakan terdapat tiga jenis teknik temubual iaitu temubual formal, temubual tidak formal dan temubual terbuka. Fontana dan Frey (1994) Merriem (1998) juga menyatakan terdapat tiga jenis temubual iaitu temubual berstruktur, temubual separa berstruktur dan temubual tidak berstruktur. Kaedah temubual akan digunakan oleh pengkaji  secara tidak formal. Secara tidak langsung pengkaji dapat mengesan punca sebenar pelajar berminat atau kurang berminat untuk melakukan amalan-amalan sunat. Pengkaji juga menggunakan kaedah temubual sebagai pengukuhan untuk mengetahui faktor yang mempengaruhi  amalan pelajar terhadap amalan-amalan sunat.  Kaedah ini menghendaki pengkaji dan responden hadir dalam proses memperolehi maklumat. Dengan itu, maklumat penyelidikan diperolehi secara langsung oleh pengkaji melalui interaksi dua hala (Majid Konting, 2004).

3.3.3    Soal selidik
Kaedah soalan soal selidik akan dijalankan dengan menyediakan 4 set  soalan yang akan diedarkan kepada responden. Soalan soal selidik yang akan dijalankan ini merupakan satu kajian berbentuk deskriptif. Menurut Mohd Majid Konting (1993), kajian deskriptif adalah sejenis kajian yang bermatlamat menerangkan keadaan semasa sesuatu fenomena
yang sedang berlaku, mendapatkan penjelasan dengan sempurna serta meneroka bidang yang belum dikaji untuk mendapatkan maklumat tepat.  Babbie (1973), menyatakan kaedah tinjauan menggunakan soal selidik sebagai alat kajian adalah bersifat logik, saintifik dan khusus. Ukuran secara kuantitatif dan kualitatif mudah diperolehi dan dengan ini dapat membantu pengkaji dalam meninjau pandangan responden berkaitan nilai, pengalaman dan perhubungan sosial mereka. Menurut Syed Arabi (1993) soal selidik adalah satu alat yang penting bagi seseorang pengkaji kerana kualiti atau mutu soal selidik akan menentukan nilai penyelidikan pada keseluruhannya. Jika soalan dalam soal selidik kabur, maka jawapan yang diperolehi itu tidak akan memberikan pengertian yang nyata. Menurut Mohd. Majid Konting (2004: 96), kajian deskriptif merupakan kajian yang bermatlamat untuk menerangkan sesuatu fenomena yang sedang berlaku. Tujuan pengkaji menjalankan kajian ini adalah untuk melihat jenis-jenis pengamalan amalan-amalan sunat dan sejauh mana tahap pengetahuan dan kefahaman terhadap amalan sunat di kalangan pelajar di sekolah ini. Selain daripada itu, kajian ini dijalankan untuk melihat jenis-jenis amalan sunat yang dilakukan pelajar. Kajian ini juga melihat kepada  penghayatan pelajar terhadap amalan sunat harian.

Kajian ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan data mengenai perkara di atas melalui sampel yang diperolehi daripada responden. Menurut Mohd Najib Abdul Ghafar (1999:  88), soal selidik biasanya digunakan untuk mengetahui sikap seseorang dengan menggunakan soalan bebas jawab, senarai semak atau skala kadar. Soal selidik digunakan untuk mengukur persepsi, sikap, anotrasi, emosi, perasaan, pandangan  dan istilah-istilah yang boleh dirangkumkan sebagai ‘nilai afektif’.

Soalan–soalan kajian yang digubal dalam kajian ini dibina sendiri oleh pengkaji  yang diadaptasi dari Ramli Awang & Rosmaziah Abdul Kadir @ Ismail (2009). Namun begitu sedikit pengubahsuaian  telah dibuat terhadap beberapa soalan dan skala likert bagi menyesuaikan dengan tajuk kajian.

Soalan selidik yang digunakan di dalam kajian ini terdiri daripada empat bahagian :

Bahagian A :   Soalan yang berkaitan dengan latar belakang responden .
                        a) Jantina
                        b) Tingkatan
                        c) Umur
                        d) Tempat tinggal
Bahagian B:    Merangkumi soalan berkaitan dengan tahap kefahaman tentang amalan-
amalan sunat

Bahagian C:    Merangkumi soalan-soalan yang berkaitan dengan faktor-faktor yang
mempengaruhi  amalan –amalan sunat responden

Bahagian D:    Merangkumi soalan –soalan yang berkaitan dengan penghayatan
 terhadap  jenis-jenis amalan sunat.
Soalan bahagian B, dibina dengan menggunakan skala likert yang mengandungi empat peringkat tahap kefahaman. Tahap kefahaman adalah seperti berikut:


Jadual 3.1: Tahap Kefahaman Responden
Skor
Tahap Kefahaman
4
Amat tahu
3
Tahu
2
Kurang Tahu
1
Tidak tahu

Manakala soalan bahagian C  dibina juga dengan menggunakan skala likert yang mengandungi empat peringkat tahap kepastian yang mempengaruhi amalan sunat responden. Tahap kepastian adalah seperti berikut:
           
Jadual 3.2: Tahap Kepastian Yang Mempengaruhi Amalan  Responden
Skor
Tahap Kepastian
4
Amat pasti
3
Pasti
2
Kurang pasti
1
Tidak pasti

Bagi soalan bahagian D, soalan dibina menggunakan skala likert empat peringkat untuk meninjau tahap kekerapan amalan responden terhadap amalan–amalan sunat bermula daripada  “Kerap kali ” kepada “Tidak pernah” sebagaimana yang dijelaskan dibawah:





Jadual 3.3: Tahap kekerapan amalan  Responden
Skor
Tahap Kepastian
4
Kerap kali
3
Kadang-kadang
2
Jarang-jarang
1
Tidak pernah

Dalam kaedah soal selidik, segala dapatan yang diperolehi adalah sulit dan dirahsiakan. Oleh itu, responden bebas untuk menyatakan pandangannya yang dirasakan betul. Menurut Mohd Majid Konting (2004: 202), soal selidik digunakan untuk mendapatkan maklumat berkenaan fakta-fakta, kepercayaan, perasaan, kehendak dan sebagainya. Beliau juga berpendapat bahawa ketidakhadiran pengkaji semasa responden memberikan jawapan akan mendorong responden untuk memberikan  jawapan yang lebih tepat dan benar. Selain itu, pengkaji menggunakan soalan soal selidik supaya dapat menjimatkan masa kerana ia dapat dijalankan serentak di satu-satu tempat dan pengedaran soal selidik juga dapat dijalankan dengan meluas.

3.4       Prosedur Pengumpulan Data
Proses pengumpulan data dijalankan sendiri oleh pengkaji kerana ia melibatkan enam tingkatan di sebuah sekolah iaitu SMK.................... Justeru itu pengkaji sendiri mengedarkan soal selidik tersebut ke atas responden yang dijadikan sampel. Pengumpulan borang soal selidik dilakukan sebaik sahaja sampel selesai menjawab soalan yang diedarkan. Pengkaji menjangkakan proses pengumpulan data  tersebut mengambil masa seminggu kerana pengkaji sendiri yang akan melakukannya ke  tingkatan–tingkatan yang terlibat. Sebelum soal selidik tersebut dijalankan, pengkaji terlebih dahulu memohon kebenaran daripada pihak sekolah iaitu En. ..................... selaku pengetua di sekolah ini serta beberapa orang guru yang terlibat untuk memberi kerjasama di sepanjang proses pengumpulan data ini dilaksanakan. Semasa proses pengedaran soal selidik, pengkaji turut dibantu oleh guru tingkatan bagi kelas yang terlibat. Pengkaji turut meminta kerjasama guru kelas berkenaan untuk mengumpul pelajar yang dijadikan sampel dalam kajian ini. Seterusnya pelajar berkenaan diberikan taklimat oleh pengkaji serta menjelaskan tujuan kajian tersebut dijalankan. Mereka dikehendaki menjawab soalan yang diberikan dengan jujur dan ikhlas tanpa dipengaruhi orang lain. Mereka juga dimaklumkan bahawa segala maklumat adalah rahsia dan digunakan untuk tujuan penyelidikan sahaja. Pelajar-pelajar diberi masa 30 hingga 40 minit untuk menjawab soalan. Setelah selesai menjawab, pengkaji akan menyemak kembali soal selidik tersebut bagi memastikan semua item telah dijawab.  

3.5       Penganalisaan data
Data-data yang diperolehi akan dikumpulkan, diproses dan dianalisa bagi membolehkan langkah seterusnya diambil dan penentuan kajian dilakukan sebagaimana yang dikehendaki di dalam objektif. Maklumat yang diperolehi dari soal selidik telah dianalisis secara statistik diskriptif dan statistik inferensi dengan menggunakan SPSS 16.0 (Statistical Package for the Social Sciences). Analisis deskriptif digunakan untuk menguji kekerapan, min, peratusan serta penyusunan data. Hipotesis diuji dengan menggunakan perbandingan min Ujian-t dan Analisis Kolerasi Pearson sebagai panduan bagi penerimaan atau penolakan sesuatu hipotesis. Kajian dilakukan terhadap faktor–faktor yang berkemungkinan mempunyai hubungkait dengan amalan sunat dan membincangkan keputusan analisis regreasi. Secara umumnya, faktor–faktor yang mempengaruhi amalan sunat dilihat dari segi koefisien kolerasi (R) iaitu:

                    i.                        Untuk mendapatkan hubungan dan perkaitan antara amalan sunat dengan faktor jantina dan tempat tinggal iaitu pelajar asrama atau luar asrama.
                  ii.                        Nilai R berbeza antara -1 hingga 1.
                iii.                        Nilai R yang tinggi iaitu menghampiri –1 atau 1 menunjukkan pengaruh yang kuat.
                iv.                        Nilai negatif (-ve) menunjukkan hubungan yang songsang manakala nilai yang positif menunjukkan hubungan yang berkadar terus.
                  v.                        Nilai R yang bersamaan dengan 0 menunjukkan tiada hubungan antara amalan sunat dengan faktor yang dianalisis.

Bagi menentukan wujudnya hubungan antara parameter bersandaran dengan parameter tidak bersandaran, ujian t, kolerasi penentuan dibuat untuk menentukan nilai keertiannya (significance). Ujian dibuat bagi memastikan hubungan yang didapati mewakili populasi dan membuktikan hipotesis. Nilai keertian 0.01 adalah dianggap sebagai nilai yang kuat. Maklumat yang dipersembahkan hanya intipati atau rumusan dan keputusan kajian akan ditunjukkan dengan menggunakan jadual.

3.6       Rumusan
Secara umumnya, bab ini pengkaji telah membincangkan tentang reka bentuk kajian yang dijalankan, ia termasuklah instrumen kajian, lokasi kajian iaitu meliputi populasi dan sampel kajian. Kajian ini adalah bentuk kajian tinjauan untuk mengetahui tahap kecenderungan pengamalan amalan-amalan sunat di kalangan pelajar sekolah ini. Justeru itu soal selidik ini direka sendiri oleh pengkaji berpandukan kepada rujukan beberapa kajian lepas.  



KAJIAN BAB 2



BAB 2
KAJIAN LITERATUR

2.1       Pendahuluan
Kajian Literatur atau tinjauan literatur merupakan ulasan maklumat yang diperolehi daripada jurnal, buku, dokumen yang berbentuk laporan, prosiding dan kajian-kajian lepas seperti tesis untuk sesuatu kajian baru. Kajian  literatur amat penting kerana  ia dapat memberikan idea dan hala tuju mengenai penyelidikan yang akan dilakukan. Proses tinjauan ini adalah untuk mengenal pasti sama ada sesuatu kajian yang dirancang telah dijalankan oleh pengkaji lain. Ia disusun mengikut topik dan berdasarkan tema atau kajian tersebut. Kajian literatur ini dijalankan untuk meningkatkan lagi pemahaman tentang kajian yang dijalankan. Tujuan sesuatu kajian literatur adalah untuk :
                                i.            Memberi idea mengenai pembolehubah
                              ii.            Mengumpul maklumat mengenai kerja-kerja penyelidikan yang telah dibuat.
                            iii.            Memperolehi makna dan hubungan antara pembolehubah-pembolehubah.
                            iv.            Mengenalpasti masalah sebenar
                              v.            Membina hipotesis kajian
                            vi.            Merancang metodologi yang sesuai.

2.2       Kajian Literatur      
Bab ini menerangkan kajian literatur ke atas pelajar atau responden dari aspek pelaksanaan dan pengamalan amalan-amalan sunat . Bab ini meliputi definisi sunat, jenis – jenis amalan sunat dan  beberapa kajian lepas yang telah dijalankan oleh beberapa pengkaji.  Melalui kajian ini pengkaji dapat melihat tahap keberkesanan dan kecenderungan responden. Selain daripada itu kajian ini juga dijalankan berdasarkan buku, jurnal dan beberapa kajian lepas untuk melihat  hasil kajian serta mendapatkan maklumat yang terkini.

2.3       Definisi Sunat
Menurut Abu Nur Muizuddin (2000), Asas Panduan Fardhu Ain Lengkap, menyatakan sunat iaitu suatu perkara yang lebih baik dikerjakan oleh orang Islam yang mukallaf,  apabila mengerjakannya mendapat pahala dan apabila meninggalkannya tidak berdosa,  misalnya solat terawih, `solat id dan lain-lain lagi. Manakala Sulaiman Endut (2002), Asas-Asas Fardhu Ain, menyatakan sunat merupakan sesuatu perintah atau hukum jika dilakukan akan mendapat ganjaran pahala dan jika ditinggalkan tidak berdosa seperti sembahyang terawih. Kamus Dewan (2007: 1543), mendefinisikan perkataan sunat sebagai hukum yang menggalakkan sesuatu perbuatan (dalam Islam) yang menjanjikan ganjaran pahala jika dilakukan dan tidak berdosa jika ditinggalkan.


2. 4      Jenis-Jenis Amalan Sunat

2.4.1    Solat Sunat
Walaupun "sunat" tetapi banyak perkara yang perlu diketahui mengenainya supaya dapat diamalkan dengan sempurna. Solat sunat ialah ialah solat yang dilakukan oleh seorang muslim dengan kerelaan hatinya sendiri, sama ada solat itu dilakukan pada waktu malam ataupun pada waktu siang. Menurut Mohd Yaakub bin Mohd Yunus (2008 ) menyatakan tentang solat sunat . Solat sunat terbahagi kepada 4 jenis iaitu :

2.4.1.1             Solat Sunat Ghairu Muaakkadah
Yang dikatakan solat sunat ghairu muaakkadah ialah solat-solat sunat yang tidak begitu kuat anjuran untuk melakukannya. Solat tersebut ialah solat sunat sebelum Maghrib, solat sunat sebelum Isyak dan solat sunat sebelum Asar. Termasuk juga ke dalam kategori ini ialah solat Dhuha.

2.4.1.2             Solat Sunat Muakkad
Solat sunat Muakkad ialah sembahyang sunat yang amat digalakkan untuk melakukannya, dan sentiasa dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Solat sunat yang termasuk dalam solat sunat muakkad ialah solat Rawatib iaitu 2 atau 4 rakaat sesudah Maghrib, 2 rakaat sesudah Isyak, 2 rakaat sebelum Subuh, solat Witir, solat Tarawih, solat Aidil Adha dan beberapa jenis solat yang lain.

2.4.1.3             Solat Sunat Muqayyad
Solat sunat yang dilakukan sebab berhubungan dengan suatu masalah. Dilihat dari sebabnya, maka solat muqayyad ini terbahagi kepada 2, iaitu :

i.                    Solat sunat yang disyariatkan sebagai mengiringi solat-solat fardhu, yang dikenali juga dengan nama solat Rawatib.
ii.                  Solat sunat yang disyariatkan bukan sebagai pengiring bagi solat fardhu, seperti solat Dhuha, Witir dan seumpamanya.

2.4.1.4             Solat Sunat Mutlaq
Solat sunat mutlaq ialah solat yang dilakukan semata-mata kerana hendak melakukan amalan sunat. Solat Sunat Mutlak ialah solat sunat yang tidak ditentukan waktunya dan tidak ada sebab pun, bilangan rakaatnya juga tiada batasnya. Cara melakukannya adalah seperti solat sunat yang lain. Untuk itu seseorang hanya memadai berniat sahaja untuk melakukan solat tanpa menyebutkan nama solatnya


2.4.2        Puasa Sunat

2.4.2.1             Puasa Enam Hari Pada Syawal
Sabda Rasulullah S.A.W.:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan kemudian meneruskannya dengan enam hari pada bulan Syawal, akan mendapat ganjaran seolah-olah dia berpuasa setahun.
(Hadis Riwayat Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Ibn Majah).

Ibadat puasa enam mempunyai pelbagai ganjaran dan kelebihan yang boleh diperolehi umat Islam jika mereka merebut peluang melaksanakannya. Daripada Abu Ayub al-Ansari, Rasulullah S.A.W. bersabda:
 “Sesiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, maka puasanya itu seperti puasa sepanjang masa”.
(Hadis Riwayat  Muslim)
Ini bermakna satu kebajikan digandakan sepuluh dan enam hari dengan ganjaran enam puluh hari, Demikianlah dua belas bulan, iaitu setahun. (Mughni 3/173). Imam Nawawi ketika mengulas hadis di atas berkata, “Ini adalah bukti jelas bagi Imam Syafie, Imam Ahmad dan Daud menjadi alasan menggalakkan kita berpuasa enam hari dalam bulan Syawal”. (Syarah Muslim 8/56). Ulama berbeza pendapat mengenai puasa berturut-turut atau sebaliknya. Menurut Imam Abu Hanifah dan sebahagian daripada ulama mazhab Syafie antaranya Abu Yusuf dan lain-lain mengatakan bahawa dipisahkan adalah lebih baik dan disunatkan kerana dapat membezakan dengan puasa penganut Kristian dan juga dapat meraikan kaum keluarga. (Maarif Sunan Syarah Tarmizi 6/121).

Di antara manfaat lain Puasa Enam Syawal adalah:

                                i.            Sebagai penampal terhadap segala kekurangan amalan puasa di bulan Ramadhan.
                              ii.            Semua amalan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. pada Ramadhan, tidak akan terputus dengan berlalunya bulan mulia itu, selama mana seseorang muslim masih hidup.
                            iii.            Antara tanda puasa Ramadhan dimakbulkan ialah mudah melakukan kebaikan demi kebaikan seperti berpuasa enam hari di bulan Syawal.
                            iv.            Allah S.W.T. menjauhkan orang yang berpuasa enam daripada api neraka dengan jarak tujuh puluh tahun.
                              v.            Puasa selepas Aidilfitri adalah antara tanda kesyukuran atas nikmat pertolongan dan keampunan yang dianugerahkan Allah ketika Ramadhan.

2.4.2.2             Puasa Tasu’a (hari ke-9 Muharram)
Selain daripada berpuasa pada hari ‘Asyura ini, kita juga digalakkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari ke-9 Muharram. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah:

Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9". Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.”
(Riwayat Imam Muslim)

Daripada Ibn Abbas r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Sekiranya aku masih hidup hingga tahun hadapan, nescaya aku pasti akan berpuasa pada hari ke-9".
(Riwayat Muslim).

Imam al-Nawawi dalam menghuraikan hadis-hadis ini telah menukilkan pendapat Imam al-Syafie dan ulamak di dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan yang lain-lain bahawa mereka semua ini berpendapat bahawa disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan hari ke-10, kerana Nabi SAW berpuasa pada hari ke-10 (‘Asyura) dan berniat untuk berpuasa pada hari ke-9 (tahun berikutnya). Imam al-Nawawi menyambung lagi: “Sebahagian ulamak berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10”. (al-Minhaj syarh Sahih Muslim(2000)

2.4.2.3             Puasa Hari-Hari Putih
Iaitu pada 13, 14 dan 15 setiap bulan Islam. Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W pernah berpesan dengan tiga perkara:

“Puasa tiga hari setiap bulan, dua rakaat solat Duha dan solat witir sebelum tidur”.
(Hadis Riwayat Bukhari).

Syekh Ruyani berpendapat bahawa berpuasa tiga hari setiap bulan adalah sunat dan lebih afdal jika bertepatan dengan hari-hari putih (13,14 dan 15 setiap bulan Islam). Ia dinamakan hari-hari putih kerana keceriaan malamnya dengan pancaran bulan penuh. (AlMughni 3/177) . Dari Abdullah Bin Umar bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Berpuasalah pada setiap bulan, tiga hari kerana satu kebajikan digandakan sepuluh kali ganda. Yang demikian itu seumpama kita berpuasa setahun”.
 (Hadis Bukhari, Muslim).




Diriwayatkan juga dari Qatadah bin Milhan  r.a. yang menceritakan;
“Rasulullah S.A.W.. memerintahkan kami supaya berpuasa pada hari-hari putih iaitu hari ke 13, 14 dan 15 di mana baginda bersabda; ‘Berpuasa pada ketiga-tiga hari itu seumpama berpuasa sepanjang masa”.
(Hadis Riwayat Imam Abu Daud).

2.4.2.4             Puasa hari Arafah pada 9 Zulhijjah
Puasa hari Arafah jatuh pada 9 Dzulhijjah.  Ia disunatkan kepada orang yang tidak menunaikan haji, iaitu bagi bukan jemaah haji.  Dari Abu Qatadah bahawa Rasulullah S.A.W. pernah ditanya mengenai puasa hari Arafah. Jawab Baginda:

“Pengampunan dosa bagi tahun lalu dan tahun akan datang”.
 (Hadis Riwayat Muslim ).

Bagi jemaah haji yang berwukuf di Arafah pula kebanyakkan ulama sepakat mengatakan bahawa mereka sunat berbuka puasa. Imam Hanafi dan Maliki berpendapat adalah makruh bagi jemaah haji yang berpuasa pada hari wukuf dan hari tarwiyah (8 Zulhijjah). Imam Hambali pula berpendapat bahawa sunat berpuasa bagi jemaah haji jika mereka berwukuf pada waktu malam dan makruh bagi mereka yang wukuf siang hari. Bagi Mazhab Syafie pula bagi penduduk Makkah yang berwukuf pada siang hari, berpuasa adalah tidak digalakkan dan harus bagi yang berwukuf di sebelah malam. (Fiqh 4 Mazhab 1/505).

2.4.2.5             Puasa hari Asyura (10 Muharam)
Dari Abdullah Bin Abbas ra bahawa ketika Rasulullah S.A.W. sampai ke Madinah, beliau mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Nabi bertanya,

“Apakah gerangan hari ini sehingga kamu berpuasa?“. Maka mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang besar di mana Musa diselamatkan dari kaumnya, tenggelamnya Firaun dan kaumnya. Musa berpuasa kerana mensyukuri dan kami berpuasa”. Selepas mendengar itu Nabi S.A.W. pun bersabda, “Kami lebih utama berpuasa dari kamu dan Nabi S.A.W. berpuasa dan menganjurkan kita berpuasa”.
Dalam riwayat Abu Qatadah ra bahawa apabila Nabi S.A.W. ditanya mengenai puasa Asyura beliau menjawab, “Mendapat keampunan setahun yang lampau”.
(Hadis Riwayat Muslim).



A’isyah r.a berkata yang bermaksud:
“Rasulullah SAW telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari A’syura, dan apabila telah difardhukan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari A’syura) maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)”.
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Daripada ‘Aisyah r.a berkata yang bermaksud:
Orang-orang Quraish di zaman jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura, dan Rasulullah SAW juga berpuasa pada hari A’syura. Maka apabila Baginda datang ke Madinah, Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa. Apabila difardhukan kewajipan puasa Ramadhan, ditinggalkan puasa pada hari ‘Asyura lalu Baginda bersabda: "Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya".
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Inilah beberapa contoh hadith sahih yang menyebut tentang puasa pada hari ‘Asyura. Daripada hadith-hadith ini dapat difahami bahawa puasa pada hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib sebelum daripada difardhukan puasa Ramadhan. Apabila difardhukan puasa Ramadhan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun ianya tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut. Inilah antara kesimpulan yang disebut oleh al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani  dan al-Imam Muslim  ketika menghuraikan hadith-hadith tentang puasa ‘Asyura ini.
(Fath al-Bari, Kitab al-Saum, Bab Siyam Yaum ‘Asyura, dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bab Saum Yaum ‘Asyura’).

 2.4.2.6            Puasa Isnin dan Khamis
Puasa hari Isnin dan Khamis adalah termasuk amalan sunat yang dilakukan Rasulullah S.A.W. Banyak keutamaan-keutamaan yang terdapat di dalamnya seperti puasa-puasa sunat yang lain. Sebagai contoh hari Isnin merupakan hari di mana Rasulullah S.A.W. di lahirkan dan di turunkan wahyu kepadanya  seperti mana telah diriwayatkan dari Abu Qatadah r.a bahawa Rasulullah S.A.W. ditanya mengenai puasa Isnin dan Khamis. Baginda menjawab:

Padanya aku dilahirkan dan padanya mula-mula diturunkan wahyu padaku”.
(Hadir Riwayat Muslim ).

Begitu juga diriwayatkan bahawa hari Isnin dan Khamis adalah hari di mana amalan seorang hamba di angkat. Dalam riwayat Abu Hurairah ra, Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Di angkat amalan seseorang pada Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku di angkat dalam keadaan aku berpuasa”.
 (Hadis Tarmizi).

Jika disingkap dalam sejarah, ternyata Rasulullah S.A.W. menerapkan amalan seperti ibadat tertentu  dengan memberi teladan kepada sahabat-sahabatnya.  Rasulullah S.A.W. diriwayatkan selalu bangun malam untuk mengerjakan solat tahajjud sehingga bengkak kedua kakinya.  Dalam aspek amalan solat sunat, Rasulullah S.A.W. diceritakan oleh isterinya Aisyah r.a. berusaha melaksanakan solat sunat secara konsisten  (Ulwan, 1996).

2.4.3    Sedekah
Sedekah adalah suatu sunnah dan amalan para sahabat yang sangat mulia. Dalam tradisi Islam, ia ada beberapa tahap seperti zakat, sedekah, derma dan hadiah. Zakat adalah amalan wajib ditunaikan oleh umat Islam yang berkemampuan manakala sedekah adalah amalan sunat yang dituntut. Ia merupakan pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan merupakan amalan yang mulia serta mencakupi perkara yang mendatangkan kebaikan dari sekecil-kecil sehinggalah sebesar-besarnya. Amalan bersedekah ini tidak ada ertinya tanpa menyandarkan niat yang ikhlas kerana Allah S.W.T. Ianya juga dilakukan  untuk kebajikan pihak yang memerlukan dan tidak mengharapkan pujian atau balasan, bahkan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah S.W.T. dan menjunjung ketaatan kepada-Nya serta memupuk kasih sayang kepada manusia dan masyarakat seluruhnya. Keutamaan bersedekah ini amat digalakkan oleh Islam dan telah dijelaskan oleh Allah S.W.T. di dalam surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud:





Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”

Berdasarkan ayat ini kurniaan ganjaran sedekah memiliki pulangan yang tidak boleh dinilai harganya di dunia dan di akhirat. Ini dikuatkan lagi melalui firman Allah S.W.T. di dalam surah Saba’ ayat 39 yang bermaksud:

Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan ia juga yang menyempitkan baginya, dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki”.
(Surah Saba’ ayat 39)

Seorang yang dermawan, selain disukai Allah juga disukai sesama  manusia. Oleh kerana itu, orang yang banyak bersedekah walaupun hidup dalam kesederhanaan, dia tetap akan merasakan kebahagian, merasai indahnya kebersamaan dan persaudaraan (Syahrin Jasah 2012). Untuk mencari keredhaan dan keberkatan Allah S.W.T. dalam amalan bersedekah atau menderma hendaklah mematuhi peraturan dan adab tertentu antaranya ialah hendaklah merahsiakannya dalam bersedekah dan itu lebih baik daripada menzahirkannya walaupun ikhlas.  Firman Allah S.W.T. di dalam surah al-Baqarah ayat 271 yang bermaksud:

 Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu memberikannya kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu, dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian daripada kesalahan-kesalahan kamu. Dan (Ingatlah) Allah amat mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
(Surah al-Baqarah ayat 271)

Apa yang dilakukan oleh ulama salaf, didapati mereka merahsiakan sedekah mereka daripada pengetahuan manusia dan masyarakat umum, hinggakan ada di antara mereka sengaja mencari orang fakir dan miskin yang buta. Mereka memberi sedekah kepada golongan itu supaya tidak diketahui siapakah yang memberinya. Mereka juga memberi derma atau sedekah dengan memasukkan atau mengikatnya kepada seseorang si fakir atau miskin pada pakaiannya ketika sedang tidur. Walaubagaimanapun kita juga dibolehkan untuk mewar-warkan pemberian tersebut bagi tujuan menggalakkan masyarakat melakukan sedekah.

2.4.4    Doa  harian
Menurut Ibnu Faris doa dari sudut bahasa ialah memalingkan sesuatu kepada anda dengan suara dan kata (Maqayis al-Lughah). Menurut Ibnu Manzur doa dari segi asal bahasa ialah menyeru(Lisan al-‘Arab).

Manakala doa menurut istilah syarak sepertimana yang didefinisikan oleh al-Imam al-Khattabi ialah pemohonan pertolongan dan bantuan oleh seorang hamba kepada Tuhannya. Manakala hakikat doa iaitu menzahirkan kefakiran, kelemahan dan kehinaan diri kepada Allah yang di dalamnya termeterai pengagungan terhadap Allah S.W.T. dan mengiktiraf sifat kemuliaan dan pemurahNya. (Sya’n al-Dua’)

Definisi doa yang dinyatakan oleh Imam al-Khattabi rahimahullah menjelaskan bahawa doa merupakan permohonan seorang hamba kepada Allah S.W.T., sepertimana firman Allah S.W.T. di dalam surah al-Baqarah ayat 186 yang maksudnya:

 Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran”.

Firman Allah lagi di dalam ayat yang lain iaitu dalam surah Ghaafir ayat 60 yang bermaksud :

Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina”.
(Surah Ghaafir ayat 60)
Daripada ayat di atas boleh dibuat kesimpulan bahawa setiap doa harian yang diamalkan dapat menambah amalan untuk menjadi seorang hamba Allah yang sentiasa merendah diri, tunduk dan patuh kepada perintahNya.


2.4.5    Membaca Al Quran
Al-Quran adalah wahyu terakhir yang diturunkan oleh Allah kepada Rasulullah untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia. Al-Quran juga merupakan panduan hidup yang lengkap meliputi setiap aspek kehidupan manusia. Al-Quran juga adalah kitab yang memberi petunjuk, penjelasan, peringatan dan rahmat. Membaca Al-Quran dikira sebagai ibadah kepada yang mengamalkannya. Dengan membaca Al-Quran, hati akan menjadi lebih tenang dan akan mendatangkan rasa rindu kepada keesaan dan kebesaran Tuhan. Menurut Drs. Hanafi Mohamed dalam bukunya yang bertajuk Falsafah Pendidikan Menurut Al-Quran, Al-Quran yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. adalah untuk mengeluarkan umat manusia dari alam kegelapan ke alam cahaya, iaitu dari kesesatan, kebodohan, kejahilan dan kebiadaban kepada jalan kebenaran, keimanan dan peradaban yang baik dan maju. Firman Allah lagi di dalam ayat yang lain iaitu dalam surah al-Kahfi ayat 109 yang bermaksud :

Katakanlah,”Sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis firman Rabbku, akan habislah lautan sebelum firman Rabbku habis ditulis, sekalipun Kami berikan tambahannya sebanyak itu pula”.
(Surah al-Kahfi ayat 109)

Sayidatina Aishah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W. bersabda:
Maksudnya :

Orang yang membaca Al-Quran sedangkan ia mahir membacanya, ia bersama-sama dengan utusan (penulis-penulis) daripada malaikat yang mulia, dan orang yang membaca Al-Quran dengan tergagap- gagap (susah) serta sukar membacanya maka baginya dua pahala”.
(Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)


Dari sahabat Abu Umamah Al-Bahili r.a.: Saya mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:

    “Bacalah oleh kalian Al-Quran, kerana ia (Al-Quran) akan datang pada hari Kiamat sebagai pemberi syafaat bagi orang-orang yang rajin membacanya”.
(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Menurut Mohd. Yusuf Ahmad (2001) demikian adalah kelebihan bagi sesiapa yang membaca Al-Quran. Menjadi satu kerugian bagi sesiapa yang tidak tahu membaca Al-Quran, begitu juga kepada mereka yang mahir membaca Al-Quran tetapi tidak mengamalkannya. Rasulullah mengumpamakan orang yang tidak membaca Al-Quran seperti rumah usang yang kosong dan buruk.

Dari hadis-hadis dan ayat Al-Quran yang telah disebutkan, dapat disimpulkan bahawa pada Al-Quran itu sendiri banyak kelebihan padanya. Sewajarnya kita semua memperuntukkan sedikit masa setiap hari untuk membaca Al-Quran. Dengan banyak membaca Al-Quran lidah kita akan menjadi lembut untuk menyebut nama-nama Allah.

Pengamalan pembacaan Al-Quran perlu ada pada setiap kalangan individu samada kanak-kanak, remaja, dewasa mahupun di kalangan warga emas lebih –lebih lagi pelajar. Amalan pembacaan Al-Quran perlu menjadi satu budaya yang sewajarnya menjadi ikutan kepada golongan muda mudi masa kini khususnya di kalangan remaja yang bergelar pelajar. Menurut Muhammad D. Sensa (2006) Al-Quran menganjurkan manusia membaca dengan alasan supaya tidak menjadi seperti Yahudi dan Nasrani yang saling tuduh menuduh namun tidak memiliki pegangan.


2. 5      Kajian lepas
Pengkaji mendapati tidak terdapat sebarang kajian yang berkaitan tentang pengamalan amalan-amalan sunat di kalangan pelajar sekolah agama di negeri .......... umumnya dan khasnya di sekolah ini, khususnya oleh mana-mana pengkaji sebelum ini. Kebanyakkan pengkaji hanya menjalankan kajian terhadap pelajar di sekolah-sekolah berkaitan salah satu amalan sunat seperti solat sunat, puasa sunat dan sebagainya. Walau bagaimanapun pengkaji akan mengambil beberapa kajian lepas yang mempunyai kaitan dengan kajian ini.

2.5.1 Kajian Amalan Solat Sunat Di Kalangan Pelajar Tahun Akhir Sarjana Muda Pengajian Islam( SPI ): Satu Kajian Di Universiti Ramli Awang & Rosmaziah Abdul Kadir @ Ismail  dari Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia
Terdapat beberapa kajian ilmiah yang telah dibuat oleh pengkaji –pengkaji terdahulu mengenai salah satu jenis amalan sunat iaitu solat sunat. Pengkaji telah mengkaji kajian lepas yang dilakukan oleh Ramli Awang & Rosmaziah Abdul Kadir @ Ismail  dari Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia yang bertajuk, Amalan Solat Sunat Di Kalangan Pelajar Tahun Akhir Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Pengajian Islam): Satu Kajian Di Universiti. Kajian ini dijalankan kerana amalan solat sunat merupakan amalan yang sangat digalakkan dalam Islam.
Kajian tersebut meliputi jenis –jenis  solat sunat yang telah diamalkan oleh  pelajar Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Pengajian Islam). Ramli Awang dan Rosmaziah Abdul Kadir telah menjalankan kajian yang melibatkan 46 pelajar Sarjana Muda Sains serta pendidikan (Pengajian Islam ) sebagai responden kajian. Untuk tujuan tersebut, kaedah soal selidik telah digunakan untuk mendapatkan nilai kekerapan, peratusan serta min . Hasil analisis menunjukkan  bahawa responden mengetahui dan memahami tentang solat solat sunat, namun tahap pengamalan pelajar dalam melaksanakan solat sunat masih kurang memuaskan. Oleh itu, beberapa cadangan turut dikemukakan kepada pihak tertentu untuk diambil tindakan bagi meningkatkan tahap kefahaman dan mempertingkatkan lagi pengamalan solat sunat di kalangan pelajar Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Pengajian Islam), khususnya di kampus. Dapatan kajian secara keseluruhannya menjelaskan bahawa responden kurang melakukan solat sunat dalam kehidupan seharian mereka.

2.5.2 Kajian yang dijalankan oleh Salasiah Hanim Hamjah, Ermy Azziaty Rozali, Rosmawati Mohamad Rasit dan Zainab Ismail daripada Universiti Kebangsaan Malaysia yang bertajuk Perkaitan Amalan Spritual Dengan Pencapaian Akademik Pelajar.
Mereka telah mengkaji bentuk amalan kerohanian yang dipraktikkan dalam kehidupan pelajar di Fakulti Pengajian Islam (FPI). Kajian ini juga bertujuan untuk mengenal pasti perbezaan tahap pencapaian akademik antara jantina serta mengkaji perkaitan antara amalan kerohanian dengan pencapaian akademik pelajar. Pengkaji menggunakan  prosedur persampelan rawak sistematik (Systematic Random Sampling), seramai 291 orang pelajar daripada 715 orang telah dipilih sebagai sampel kajian. Mereka terdiri daripada pelajar tahun Dua dan tahun Tiga yang mengikuti pengajian pada semester kedua, sesi pengajian 2009/2010. Responden mewakili lima jabatan di Fakulti Pengajian Islam iaitu Jabatan Pengajian Syariah, Jabatan Pengajian Usuluddin dan Falsafah, Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah dan Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan. Berdasarkan hasil kajian tersebut, didapati beberapa bentuk amalan kerohanian yang dilakukan oleh responden dalam kajian ini seperti solat hajat, membaca al-Quran, solat sunat rawatib, solat berjemaah dan muhasabah. Dapatan kajian menunjukkan lebih separuh responden melakukan solat hajat dan qiyamullail satu hingga dua kali seminggu. Ini menunjukkan kekerapan pelajar melakukan jenis-jenis amalan sunat.  Dapatan ini jelas menunjukkan bahawa antara amalan kerohanian harian atau mingguan yang dilakukan oleh mahasiswa Fakulti Pengajian Islam ialah qiyamullail, solat sunat awwabin, membaca al-Quran, solat berjemaah dan bermuhasabah. Responden dalam kajian ini juga melakukan amalan kerohanian yang berkaitan dengan pembelajaran seperti membaca doa sebelum memulakan pembelajaran, bertawakkal, redha sekiranya menemui kegagalan setelah berusaha bersungguh-sungguh serta bersyukur apabila mendapat kejayaan dalam pelajaran.

2.5.3    Kajian Mohd Sabri  Mamat, Syed Najmuddin Syed Hassan dan Abdul Halim Tamuri (2009) dari Universiti Kebangsaan Malaysia dalam kajiannya yang bertajuk Amalan Ibadat Harian dan Sumbangannya kepada Emosi Remaja satu kajian tinjauan yang dilakukan  MRSM.
Tinjauan untuk melihat tahap amalan ibadah harian seperti puasa , solat, membaca al-Quran , zikir dan doa. Hasil daripada dapatan kajian amalan membaca al-Quran dan membaca doa lebih ketara sumbangannya terhadap motivasi kendiri seorang remaja. Dapatan menunjukkan bahawa amalan ibadat harian menyumbang kepada ketiga-tiga domain kecerdasan emosi seseorang. Amalan zikir doa dan membaca al-Quran didapati menyumbang kepada peningkatan kesedaran kendiri dalam kalangan pelajar. Ibadat-ibadat zikir doa, membaca al-Quran dan solat pula menyumbang kepada peningkatan regulasi kendiri.

2.5.4    Kajian Rosidah Jemain yang bertajuk Faktor pendorong amalan kerohanian dalam kalangan pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam di Bangi.
Hasil daripada dapatan kajian amalan  kerohanian  yang dilakukan oleh pelajar  Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPG KPI ) adalah, min  tertinggi  adalah  doa  sebagai  senjata  muslim iaitu  4.93  dan  min  yang  paling  rendah ialah 3.34 iaitu bagi item solat sunat sebelum berdoa. Setelah diteliti, faktor pendorong utama dalam amalan kerohanian di kalangan pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPG KPI ) ialah kesedaran mereka terhadap tugas seorang hamba Allah Ta’ala untuk melaksanakan ibadah kepadaNya. Min yang tinggi untuk item ini iaitu 4.74 adalah sebagai bukti bahawa pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPG  KPI ) amat  menyedari  bahawa  mereka  adalah  hamba  yang  diciptakan  oleh  Allah  dan berusaha  untuk  melaksanakan  tugas  mereka  sebagai  hamba  Allah. Ini  menyatakan  kekuatan akidah pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPG KPI).

2.5.5    Kajian Md Nazir Ibrahim yang bertajuk Kefahaman dan penghayatan amalan solat dalam kalangan orang asli Pos Pulat Gua Musang Kelantan
Hasil daripada kajian yang telah dilakukan kepada masyarakat orang asli, pengkaji mendapati bahawa tahap kefahaman dan penghayatan orang asli mengenai solat adalah tinggi. Malahan juga, masyarakat orang asli dapat melaksanakan amalan solat dengan sempurna. Hasil dapatan ini dinilai berdasarkan puratan min yang diperolehi daripada setiap soal selidik yang dijawab oleh orang asli iaitu dari segi kefahaman memperoleh min sebanyak 1.72, manakala penghayatan orang asli memperoleh min sebanyak 1.41 dan amalan orang asli berkaitan dengan solat mendapat purata min sebanyak 1.58. Di samping itu, faktor –faktor yang mempengaruhi masyarakat orang asli melakukan amalan solat memperoleh min sebanyak 1.71. Hal ini kerana kegiatan program-program dakwah sering kali dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam dan guru-guru Agama yang bergiat aktif di kawasan orang asli agar masyarakat orang asli dapat membina jatidiri mukmin, merasakan solat perlu difahami, dihayati dan diamalkan dengan rasa kehambaan kepada Allah S.W.T. Kefahaman dan amalan adalah peringkat untuk lahir dalam diri seseorang, kerana ia bertapak di akal. Manakala penghayatan akan lahir dari amalan rohani yang berada di hati. Usaha untuk mendapatkan solat yang sempurna perlulah sentiasa diusahakan secara berterusan dengan amalan. Justeru itu, bagi meningkatkan kefahaman, penghayatan dan amalan solat perlu dipandang serius dan dilakukan secara berterusan. Ini kerana penghayatan solat adalah sesuatu yang subjektif dan berubah- ubah, bahkan sangat sukar untuk menetapkan di dalam jati diri seseorang.

2.6       Konsep Rangka Kerja

Rajah 2.1 : Kerangka Kajian





2.7       Rumusan
Berdasarkan kepada perbincangan–perbincangan yang lalu dapatlah pengkaji merumuskan bahawa pengamalan amalan-amalan sunat di kalangan pelajar terutamanya pelajar sekolah agama tidak boleh dipandang ringan bagi merealisasikan generasi yang beramal dengan tuntutan agama supaya lahir daripadanya umat yang beramal dengan sunnah nabi. Perlulah diketahui bahawa menunaikan kewajipan agama adalah perkara yang dituntut ke atas tiap-tiap orang Islam (mukallaf), tambahan pula dalam perkara yang merupakan rukun agama. Amalan sunat adalah antara amalan yang disukai Allah dan lebih hampir kepada keredhaan-Nya.

Di dalam satu hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari, Allah berfirman (maksudnya):

“Perkara yang mendekatkan Aku dengan hamba-Ku adalah seumpama dia mengerjakan apa yang yang Aku fardukan; dia sentiasa menghampiri-Ku dengan mengerjakan amalan-amalan sunat sehinggalah Aku menyukainya. Apabila Aku menyukainya, Aku mendengar apa yang didengari oleh hamba-Ku dan melihat apa yang dilihat oleh hamba-Ku”.

Justeru itu, tidak dapat disangkal lagi betapa pentingnya amalan-amalan sunat untuk mendekatkan diri dan mendapat keredhaan Allah. Oleh kerana itu, pengkaji cuba membawa kajian ini untuk mengetahui  tahap kecenderungan pengamalan amalan-amalan sunat di kalangan pelajar di sekolah ini . Semoga dengan kajian ini dapat membantu semua pihak untuk berusaha memartabatkan amalan-amalan sunat dalam kehidupan.
http://mysekebun.blogspot.my/2013/12/kajian-bab-1.html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...