Tuesday, December 10, 2013

KAJIAN BAB 3



BAB 3
METODOLOGI KAJIAN

3.1       Pendahuluan
Metodologi penyelidikan merupakan kaedah dan teknik mereka bentuk, mengumpul dan menganalisis data supaya dapat menghasilkan bukti yang boleh menyokong sesuatu rumusan. Metodologi menerangkan cara sesuatu masalah disiasat dan sebab sesuatu kaedah dan teknik tertentu digunakan. Tujuan metodologi ialah untuk membantu memahami dengan lebih luas lagi tentang pengaplikasian kaedah dengan membuat huraian tentang proses kajian. Kajian ini merupakan satu kajian yang berbentuk penilaian bagi melihat keberkesanan amalan sunat di kalangan pelajar sekolah agama khususnya bagi meningkatkan pemahaman dan amalan pelajar. Bab ini juga menerangkan bagaimana cara untuk mendapatkan sesuatu maklumat supaya matlamat dan objektif kajian ini tercapai. Kajian ini juga bertujuan untuk mengenal pasti sama ada pelajar sekolah agama benar-benar menghayati amalan sunat dalam kehidupan seharian mereka ataupun sebaliknya. Berdasarkan tujuan tersebut, bab ini akan membincangkan mengenai metodologi kajian, responden kajian, alat atau instrumen kajian, tatacara pengumpulan data dan tatacara penganalisaan data yang bakal digunakan dalam kajian sebenar.

3.2       Metodologi Kajian
Metodologi  kajian merupakan kaedah atau teknik yang digunakan untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan bagi menyelesaikan masalah. Kajian yang akan dijalankan adalah mengikut kaedah penilaian yang melibatkan 60  orang pelajar. Metodologi kajian ini menjadi pilihan kerana ia boleh dijadikan kayu pengukur keberkesanan pengamalan amalan-amalan sunat di kalangan pelajar. Melalui kaedah ini, sebarang dapatan kajian akan menunjukkan tahap pengamalan sebenar amalan sunat di kalangan pelajar sekolah agama sama ada  memuaskan atau sebaliknya.
3.3       Instrumen Kajian
Secara umumnya instrumen kajian ialah apa-apa alat, atau cara atau apa-apa kaedah untuk memperolehi dan mengumpul data kajian. Instrumen ialah alat untuk mengumpul data yang dikehendaki bagi menjawab soalan penyelidikan yang telah ditetapkan. Maka, instrumentasi ialah proses menyediakan alat mengumpul data. Dalam kajian ini instrumen yang akan digunakan adalah terdiri daripada:


3.3.1    Pemerhatian
Kaedah pemerhatian merupakan satu kaedah penyelidikan yang digunakan untuk mengukur pemboleh ubah penyelidikan. Pemerhatian juga merupakan alternatif yang ada dalam mengumpul maklumat atau pengumpulan data selain soal selidik dan temuduga. Melalui pemerhatian, pengkaji dapat mengamati sesuatu tingkah laku subjek berpandukan pemboleh ubah-pemboleh ubah yang telah dikenal pasti. Peranan pengkaji ialah sebagai pemerhati terhadap perubahan-perubahan tingkah laku, mendengar, serta melihat tingkah laku subjek sama ada dari jauh atau dari dekat. Oleh itu pengkaji melakukan pemerhatian terhadap pengamalan amalan-amalan sunat  beberapa orang responden melalui aktiviti harian. Pengkaji menggunakan kaedah pemerhatian bukan peserta. Pemerhatian jenis ini memerlukan pemerhati memilih tempat yang sesuai untuk membuat pemerhatian. Tempat pemerhatian mestilah memberi peluang semaksimum mungkin kepada pemerhati untuk membuat pemerhatian secara teliti terhadap segala gerak geri ahli kumpulan atau individu yang diperhati.

Kebaikan kaedah ini ialah responden kajian mungkin tidak menyedari akan kehadiran pemerhati dan dengan itu ia akan menunjukkan tingkah laku yang tulen dan tidak berpura-pura. Data-data yang diperoleh lebih tulen dan ini akan menyumbang kepada ketepatan maklumat yang dikumpul. Maklumat yang tepat akan menyumbang pula kepada keputusan yang lebih tepat.



3.3.2    Temu bual
Patton (1980) menyatakan terdapat tiga jenis teknik temubual iaitu temubual formal, temubual tidak formal dan temubual terbuka. Fontana dan Frey (1994) Merriem (1998) juga menyatakan terdapat tiga jenis temubual iaitu temubual berstruktur, temubual separa berstruktur dan temubual tidak berstruktur. Kaedah temubual akan digunakan oleh pengkaji  secara tidak formal. Secara tidak langsung pengkaji dapat mengesan punca sebenar pelajar berminat atau kurang berminat untuk melakukan amalan-amalan sunat. Pengkaji juga menggunakan kaedah temubual sebagai pengukuhan untuk mengetahui faktor yang mempengaruhi  amalan pelajar terhadap amalan-amalan sunat.  Kaedah ini menghendaki pengkaji dan responden hadir dalam proses memperolehi maklumat. Dengan itu, maklumat penyelidikan diperolehi secara langsung oleh pengkaji melalui interaksi dua hala (Majid Konting, 2004).

3.3.3    Soal selidik
Kaedah soalan soal selidik akan dijalankan dengan menyediakan 4 set  soalan yang akan diedarkan kepada responden. Soalan soal selidik yang akan dijalankan ini merupakan satu kajian berbentuk deskriptif. Menurut Mohd Majid Konting (1993), kajian deskriptif adalah sejenis kajian yang bermatlamat menerangkan keadaan semasa sesuatu fenomena
yang sedang berlaku, mendapatkan penjelasan dengan sempurna serta meneroka bidang yang belum dikaji untuk mendapatkan maklumat tepat.  Babbie (1973), menyatakan kaedah tinjauan menggunakan soal selidik sebagai alat kajian adalah bersifat logik, saintifik dan khusus. Ukuran secara kuantitatif dan kualitatif mudah diperolehi dan dengan ini dapat membantu pengkaji dalam meninjau pandangan responden berkaitan nilai, pengalaman dan perhubungan sosial mereka. Menurut Syed Arabi (1993) soal selidik adalah satu alat yang penting bagi seseorang pengkaji kerana kualiti atau mutu soal selidik akan menentukan nilai penyelidikan pada keseluruhannya. Jika soalan dalam soal selidik kabur, maka jawapan yang diperolehi itu tidak akan memberikan pengertian yang nyata. Menurut Mohd. Majid Konting (2004: 96), kajian deskriptif merupakan kajian yang bermatlamat untuk menerangkan sesuatu fenomena yang sedang berlaku. Tujuan pengkaji menjalankan kajian ini adalah untuk melihat jenis-jenis pengamalan amalan-amalan sunat dan sejauh mana tahap pengetahuan dan kefahaman terhadap amalan sunat di kalangan pelajar di sekolah ini. Selain daripada itu, kajian ini dijalankan untuk melihat jenis-jenis amalan sunat yang dilakukan pelajar. Kajian ini juga melihat kepada  penghayatan pelajar terhadap amalan sunat harian.

Kajian ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan data mengenai perkara di atas melalui sampel yang diperolehi daripada responden. Menurut Mohd Najib Abdul Ghafar (1999:  88), soal selidik biasanya digunakan untuk mengetahui sikap seseorang dengan menggunakan soalan bebas jawab, senarai semak atau skala kadar. Soal selidik digunakan untuk mengukur persepsi, sikap, anotrasi, emosi, perasaan, pandangan  dan istilah-istilah yang boleh dirangkumkan sebagai ‘nilai afektif’.

Soalan–soalan kajian yang digubal dalam kajian ini dibina sendiri oleh pengkaji  yang diadaptasi dari Ramli Awang & Rosmaziah Abdul Kadir @ Ismail (2009). Namun begitu sedikit pengubahsuaian  telah dibuat terhadap beberapa soalan dan skala likert bagi menyesuaikan dengan tajuk kajian.

Soalan selidik yang digunakan di dalam kajian ini terdiri daripada empat bahagian :

Bahagian A :   Soalan yang berkaitan dengan latar belakang responden .
                        a) Jantina
                        b) Tingkatan
                        c) Umur
                        d) Tempat tinggal
Bahagian B:    Merangkumi soalan berkaitan dengan tahap kefahaman tentang amalan-
amalan sunat

Bahagian C:    Merangkumi soalan-soalan yang berkaitan dengan faktor-faktor yang
mempengaruhi  amalan –amalan sunat responden

Bahagian D:    Merangkumi soalan –soalan yang berkaitan dengan penghayatan
 terhadap  jenis-jenis amalan sunat.
Soalan bahagian B, dibina dengan menggunakan skala likert yang mengandungi empat peringkat tahap kefahaman. Tahap kefahaman adalah seperti berikut:


Jadual 3.1: Tahap Kefahaman Responden
Skor
Tahap Kefahaman
4
Amat tahu
3
Tahu
2
Kurang Tahu
1
Tidak tahu

Manakala soalan bahagian C  dibina juga dengan menggunakan skala likert yang mengandungi empat peringkat tahap kepastian yang mempengaruhi amalan sunat responden. Tahap kepastian adalah seperti berikut:
           
Jadual 3.2: Tahap Kepastian Yang Mempengaruhi Amalan  Responden
Skor
Tahap Kepastian
4
Amat pasti
3
Pasti
2
Kurang pasti
1
Tidak pasti

Bagi soalan bahagian D, soalan dibina menggunakan skala likert empat peringkat untuk meninjau tahap kekerapan amalan responden terhadap amalan–amalan sunat bermula daripada  “Kerap kali ” kepada “Tidak pernah” sebagaimana yang dijelaskan dibawah:





Jadual 3.3: Tahap kekerapan amalan  Responden
Skor
Tahap Kepastian
4
Kerap kali
3
Kadang-kadang
2
Jarang-jarang
1
Tidak pernah

Dalam kaedah soal selidik, segala dapatan yang diperolehi adalah sulit dan dirahsiakan. Oleh itu, responden bebas untuk menyatakan pandangannya yang dirasakan betul. Menurut Mohd Majid Konting (2004: 202), soal selidik digunakan untuk mendapatkan maklumat berkenaan fakta-fakta, kepercayaan, perasaan, kehendak dan sebagainya. Beliau juga berpendapat bahawa ketidakhadiran pengkaji semasa responden memberikan jawapan akan mendorong responden untuk memberikan  jawapan yang lebih tepat dan benar. Selain itu, pengkaji menggunakan soalan soal selidik supaya dapat menjimatkan masa kerana ia dapat dijalankan serentak di satu-satu tempat dan pengedaran soal selidik juga dapat dijalankan dengan meluas.

3.4       Prosedur Pengumpulan Data
Proses pengumpulan data dijalankan sendiri oleh pengkaji kerana ia melibatkan enam tingkatan di sebuah sekolah iaitu SMK.................... Justeru itu pengkaji sendiri mengedarkan soal selidik tersebut ke atas responden yang dijadikan sampel. Pengumpulan borang soal selidik dilakukan sebaik sahaja sampel selesai menjawab soalan yang diedarkan. Pengkaji menjangkakan proses pengumpulan data  tersebut mengambil masa seminggu kerana pengkaji sendiri yang akan melakukannya ke  tingkatan–tingkatan yang terlibat. Sebelum soal selidik tersebut dijalankan, pengkaji terlebih dahulu memohon kebenaran daripada pihak sekolah iaitu En. ..................... selaku pengetua di sekolah ini serta beberapa orang guru yang terlibat untuk memberi kerjasama di sepanjang proses pengumpulan data ini dilaksanakan. Semasa proses pengedaran soal selidik, pengkaji turut dibantu oleh guru tingkatan bagi kelas yang terlibat. Pengkaji turut meminta kerjasama guru kelas berkenaan untuk mengumpul pelajar yang dijadikan sampel dalam kajian ini. Seterusnya pelajar berkenaan diberikan taklimat oleh pengkaji serta menjelaskan tujuan kajian tersebut dijalankan. Mereka dikehendaki menjawab soalan yang diberikan dengan jujur dan ikhlas tanpa dipengaruhi orang lain. Mereka juga dimaklumkan bahawa segala maklumat adalah rahsia dan digunakan untuk tujuan penyelidikan sahaja. Pelajar-pelajar diberi masa 30 hingga 40 minit untuk menjawab soalan. Setelah selesai menjawab, pengkaji akan menyemak kembali soal selidik tersebut bagi memastikan semua item telah dijawab.  

3.5       Penganalisaan data
Data-data yang diperolehi akan dikumpulkan, diproses dan dianalisa bagi membolehkan langkah seterusnya diambil dan penentuan kajian dilakukan sebagaimana yang dikehendaki di dalam objektif. Maklumat yang diperolehi dari soal selidik telah dianalisis secara statistik diskriptif dan statistik inferensi dengan menggunakan SPSS 16.0 (Statistical Package for the Social Sciences). Analisis deskriptif digunakan untuk menguji kekerapan, min, peratusan serta penyusunan data. Hipotesis diuji dengan menggunakan perbandingan min Ujian-t dan Analisis Kolerasi Pearson sebagai panduan bagi penerimaan atau penolakan sesuatu hipotesis. Kajian dilakukan terhadap faktor–faktor yang berkemungkinan mempunyai hubungkait dengan amalan sunat dan membincangkan keputusan analisis regreasi. Secara umumnya, faktor–faktor yang mempengaruhi amalan sunat dilihat dari segi koefisien kolerasi (R) iaitu:

                    i.                        Untuk mendapatkan hubungan dan perkaitan antara amalan sunat dengan faktor jantina dan tempat tinggal iaitu pelajar asrama atau luar asrama.
                  ii.                        Nilai R berbeza antara -1 hingga 1.
                iii.                        Nilai R yang tinggi iaitu menghampiri –1 atau 1 menunjukkan pengaruh yang kuat.
                iv.                        Nilai negatif (-ve) menunjukkan hubungan yang songsang manakala nilai yang positif menunjukkan hubungan yang berkadar terus.
                  v.                        Nilai R yang bersamaan dengan 0 menunjukkan tiada hubungan antara amalan sunat dengan faktor yang dianalisis.

Bagi menentukan wujudnya hubungan antara parameter bersandaran dengan parameter tidak bersandaran, ujian t, kolerasi penentuan dibuat untuk menentukan nilai keertiannya (significance). Ujian dibuat bagi memastikan hubungan yang didapati mewakili populasi dan membuktikan hipotesis. Nilai keertian 0.01 adalah dianggap sebagai nilai yang kuat. Maklumat yang dipersembahkan hanya intipati atau rumusan dan keputusan kajian akan ditunjukkan dengan menggunakan jadual.

3.6       Rumusan
Secara umumnya, bab ini pengkaji telah membincangkan tentang reka bentuk kajian yang dijalankan, ia termasuklah instrumen kajian, lokasi kajian iaitu meliputi populasi dan sampel kajian. Kajian ini adalah bentuk kajian tinjauan untuk mengetahui tahap kecenderungan pengamalan amalan-amalan sunat di kalangan pelajar sekolah ini. Justeru itu soal selidik ini direka sendiri oleh pengkaji berpandukan kepada rujukan beberapa kajian lepas.  



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...