BAB
1
PENGENALAN
1.1 Pendahuluan
Amalan-amalan sunat merupakan salah satu daripada
amalan yang amat disukai oleh Allah S.W.T. Seharusnya amalan ini diberi
pendedahan dalam usaha mengubah pemikiran pelajar sekolah terutamanya pelajar
sekolah agama mengenai kepentingan dan kelebihannya dalam ibadah. Amalan bersedekah merupakan
contoh yang seharusnya diterapkan dalam jiwa pelajar secara
berterusan. Walaupun ibadah wajib itu asas dan pokok, namun Allah sangat melihat
kepada amalan yang sunat. Allah Taala ada berfirman di dalam sebuah Hadis Qudsi yang bermaksud:
“Hamba-ku
senantiasa mendekatkan diri kepadaKu dengan melakukan hal-hal yang
sunat,sehingga ia Kusenangi dan Kucintai. Kerananya Akulah yang menjadi
pendengarannya yang dengannya ia mendengar, penglihatannya yang dengannya ia
melihat, lidahnya yang dengannya ia bertutur kata dan aqal yang dengannya ia
berfikir. Apabila ia berdoa kepadaKu, Aku perkenankan doanya. Apabila ia
meminta sesuatu kepadaKu nescaya Aku
mengurnianya, dan apabila ia meminta pertolongan kepada kepadaKu nescaya aku
menolongnya. Ibadah yang dilakukan kepadaKu yang paling Aku senangi ialah
menunaikan kewajipanya dengan sebaik-baiknya untukKu”
(Riwayat At Thabrani , dalam Kitab
al Kabir yang bersumber dari Abu Umamah).
Hadis ini
menjelaskan bahawa walaupun
ibadah-ibadah sunat itu hanya sunat hukumnya, namun ia menjadi syarat untuk mendapat cinta dan kasih sayang Allah. Oleh
itu tidak ada sebab mengapa amalan-amalan sunat
diperkecilkan atau diremehkan kerana di dalamnya terkandung hikmah yang
sangat besar .
Daripada Abu Hurairah,
“Junjunganku
(Nabi Muhammad S.A.W.) berwasiat supaya aku mengerjakan tiga perkara iaitu:
Berpuasa tiga hari pada tiap-tiap bulan, mengerjakan dua rakaat sembahyang
dhuha dan juga supaya aku mengerjakan sembahyang witir sebelum aku tidur.”
(Hadis riwayat
Bukhari dan Muslim)
Jalan untuk mencapai tahap ihsan ialah melalui
proses menunaikan segala perkara yang difardukan. Lebih tinggi daripada itu
ialah melakukan amalan mendekatkan diri kepada Allah iaitu amalan an-Nawafil (sunat). Untuk melakukan amalan seumpama itu
memerlukan jihad yang tinggi dalam jiwa manusia, kemampuan serta kerelaan hati
melaksanakannya, kesungguhan yang tidak pernah luntur dan berterusan, selain
memusatkan segala kepentingan dan tujuan hanya kepada Allah semata-mata.
Selain bersedekah amalan – amalan sunat yang perlu
menjadi satu budaya kepada pelajar antaranya ialah berpuasa sunat, melakukan
solat – solat sunat dan mengamalkan doa-doa harian bagi setiap perbuatan yang
dilakukan. Umat Islam hendaklah memperbanyakkan amalan sunat seperti banyak
bersembahyang sunat, membaca al-Quran, bersedekah dan berpuasa sunat untuk
menguatkan iman. Islam amat menganjurkan amalan sunat di samping amalan wajib
kerana ianya merupakan suatu amalan yang menjadi pelengkap kepada amalan wajib.
Selain itu amalan sunat juga meninggikan pangkat dan darjat manusia di syurga
serta dapat meningkatkan ketakwaan kepada-Nya.
1.2 Pernyataan Masalah
Amalan-amalan
sunat merupakan salah satu cabang ibadah yang sangat dituntut untuk
dikerjakan. Ia merupakan amalan pilihan dalam beribadat kepada Allah S.W.T. yang
mana sangat digalakkan serta mendapat pahala. Pengamalan amalan sunat di
kalangan pelajar terutamanya pelajar sekolah agama perlu diberi perhatian kerana
merekalah sebenarnya agen pengubah dan juga pendakwah bagi generasi akan
datang. Pengkaji juga ingin mengetahui sejauh mana tahap
kecenderungan pelajar agama zaman kini berbanding pelajar dahulu berkaitan tahap
kecenderungan pengamalan amalan sunat. Realiti
yang berlaku zaman ini jelas menunjukkan bahawa kebanyakkan pelajar sekolah
agama hanya mengerjakan amalan wajib sahaja. Manakala sebahagian kecil sahaja
yang melakukan amalan-amalan sunat.
Justeru, kajian yang
dijalankan ini adalah bertujuan untuk mengetahui dan melihat sejauh mana
tahap kecenderungan pengamalan amalan sunat di kalangan pelajar SMA................... dalam
kehidupan seharian mereka. Kajian ini juga
melihat sejauh mana pelajar sekolah agama dapat mengamalkan amalan sunat berdasarkan tahap pemahaman, faktor- faktor kecenderungan serta
tahap penghayatan responden .
1.3 Persoalan Kajian
i.
Apakah tahap kefahaman pelajar terhadap amalan-amalan sunat?
ii.
Apakah faktor –faktor yang mempengaruhi
amalan –amalan sunat?
iii.
Apakah tahap penghayatan pelajar
terhadap jenis jenis amalan sunat?
iv.
Apakah tahap kefahaman tentang
amalan-amalan sunat di kalangan pelajar berdasarkan jantina dan tempat tinggal?
v.
Apakah tahap penghayatan tentang
jenis-jenis amalan sunat di kalangan pelajar berdasarkan jantina dan tempat
tinggal?
vi.
Adakah terdapat hubungan yang signifikan antara tahap kefahaman
pelajar dengan penghayatan terhadap jenis-jenis amalan sunat?
1.4 Objektif Kajian
Objektif kajian yang dijalankan adalah untuk mengenal pasti:
i.
Tahap kefahaman pelajar di sekolah ini mengenai amalan - amalan sunat
berdasarkan jantina dan tempat tinggal.
ii.
Jenis-jenis amalan sunat yang diamalkan oleh pelajar di sekolah ini
iii.
Faktor-faktor utama yang mempengaruhi pelajar di sekolah ini dalam melakukan amalan amalan sunat.
iv.
Tahap kecenderungan penghayatan dalam pengamalan amalan- amalan sunat
berdasarkan faktor jantina dan tempat tinggal.
1.5 Hipotesis Kajian
i.
Tidak terdapat perbezaan yang signifikan
mengenai tahap kefahaman amalan-amalan sunat di kalangan pelajar mengikut
jantina dan tempat tinggal.
ii.
Tidak terdapat perbezaan yang signifikan
penghayatan pelajar terhadap jenis-jenis amalan sunat berdasarkan jantina dan
tempat tinggal.
iii.
Tidak terdapat hubungan yang signifikan
mengikut kefahaman pelajar dengan
penghayatan terhadap jenis –jenis
amalan sunat.
1.6 Sumbangan
Dan Kepentingan Kajian
Pengkaji sangat berharap agar kajian yang dilakukan ini dapat dimanfaatkan oleh setiap
pelajar dan umat Islam keseluruhannya. Kajian yang dijalankan ini mempunyai
beberapa kepentingan iaitu;
i.
Memberi kesedaran kepada pelajar sekolah agama
itu sendiri memandangkan mereka merupakan aset yang penting dan
merupakan contoh ikutan kepada pelajar lain.
ii.
Memberi pendedahan tentang kelebihan dan
kepentingan amalan amalan sunat.
iii.
Menggalakkan pelajar supaya
memperbanyakkan amalan- amalan sunat dan menggalakkan mereka supaya terlibat
dalam aktiviti keagamaan.
iv.
Hasil daripada kajian ini diharapkan dapat dimanfaatkan oleh Sekolah Menengah Agama
Negeri (SMAN), Pejabat Agama Islam Daerah, Jabatan Agama Islam........... supaya dapat membuat perancangan jangka
pendek dan jangka panjang bagi memastikan pelajar-pelajar sekolah agama faham serta jelas terhadap kepentingan amalan
sunat seterusnya menjadi contoh tauladan dalam mengamalkan
amalan tersebut dengan sempurna.
1.7 Had Kajian
Kajian ini
dijalankan di SMA................ sahaja. Sekolah-sekolah agama lain tidak
terlibat dengan kajian ini. Selain itu kajian ini melibatkan 60 orang responden
yang terdiri daripada pelajar tingkatan
1 hingga tingkatan 6 bagi sesi 2013. Dalam kajian ini, pengkaji akan menerangkan tentang jenis-jenis amalan
sunat yang dilaksanakan oleh pelajar .
Antara amalan-amalan sunat yang di bicarakan iaitu solat sunat, puasa sunat,
doa harian, sedekah dan membaca al-Quran.
Pengkaji
memfokus hanya lima jenis amalan-amalan sunat kerana kebanyakkan pelajar seringkali
melakukan amalan sunat tersebut, dan ia menjadi rutin harian bagi seorang pelajar.
Kajian juga dijalankan bagi mengetahui tahap kefahaman dan penghayatan terhadap
jenis-jenis amalan sunat berdasarkan jantina dan tempat tinggal. Selain
daripada itu kajian juga melihat kepada
faktor – faktor yang mempengaruhi amalan-amalan sunat.
1.8 Rumusan
Satu kajian
tentang kencenderungan pelajar aliran agama dalam melakukan amalan sunat amat
perlu dilakukan. Ini kerana persepsi masyarakat umumnya melihat pelajar aliran
agama adalah contoh terbaik dari aspek pengamalan ibadat islam. Di harap kajian
ini dapat memberikan maklumat yang berguna khasnya kepada pihak pentadbiran
sekolah dalam melihat tahap kencenderungan sebenar pelajar dalam mengamalkan
amalan-amalan sunat. Lebih penting lagi, ia turut memberi gambaran awal tentang
generasi akan datang. Jika perkara ini dapat diamalkan sepenuhnya, maka
matlamat untuk melahirkan individu muslim berteraskan sunnah Rasulullah akan
mudah direalisasikan.